TAPAH - [DIKEMAS KINI] Ketiga-tiga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selesai melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada pagi Sabtu.
Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong pada jam 8.45 pagi dan selesai mengundi di saluran dua pada jam 8.52 pagi.
"Alhamdulillah saya sudah selesai menunaikan tanggungjawab. Saya lihat proses pengundian berjalan lancar.
"Harap seluruh pengundi dapat keluar awal beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih. Kebetulan cuaca pada pagi ini juga redup," kata Mohamad Yusri ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, 44, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning pada jam 8.35 pagi.
**media[3100759]**
Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah itu hadir bersama isteri, Rabiah Abdul Aziz, 44, serta ibu bapanya, Salmah Ab Latiff, 66, dan Malek Mohammad, 71.
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 39, menjadi individu pertama mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
Peguam itu hadir ke pusat mengundi tersebut jam 8 pagi diiringi Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan mengundi di saluran dua.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Mohamad Yusri, calon PN, Abd Muhaimin dan Bawani KS dari PSM.
Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 orang pemilih berdaftar yang layak membuang undi di 19 pusat mengundi ditetapkan.
Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan, sementara SPR mengeluarkan 116 kertas undi pos kepada mereka yang berhak mengundi secara pos.